Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Monday, August 25, 2008

TERBILANG TAPI TERBUANG

Kadangkala kita memerlukan jangkamasa yang amat panjang untuk menyaksikan sesebuah keajaiban terlakar. Keajaiban itu pula, walau dalam apa juga bidang sekalipun akan membuatkan kita menjadi terpesona sekaligus mengkagumi ketekunan pengkaryanya.

Azrai Khor Abdullah, jurulatih pasukan bolasepak Kedah telah melakukan sebaliknya. Persis seorang pengkarya yang teliti, anehnya Azrai tidak pula memerlukan tempoh yang panjang untuk mencetuskan keajaiban di padang.

Musim lalu, buat pertama kali dia telah berjaya membakar semangat anak didiknya untuk mencipta hatrik dengan menyapu bersih Piala Liga Super, Piala FA serta Piala Malaysia. Pada saingan kali ini, kelangsungan itu tidak terputus di tengah jalan malahan terus berkekalan. Beliau telah berjaya memimpin pasukannya untuk mempertahankan ketiga-tiga piala itu pula!
Itu adalah suatu catatan rekod yang walaupun tidak mustahil, tetapi kelihatan amat sukar untuk sesiapa jua melakukannya. Namun Azrai telah berjaya melakarnya dengan sempurna!

Dan itulah yang dikatakan keajaiban!

Keajaiban itulah yang membuatkan kita menjadi terpesona sekaligus mengkagumi ketekunan pengkaryanya. Tidak hairanlah pula jika keajaiban bikinan Azrai itu bakal menjadi modul terhangat yang sedang dihendap untuk diciplak oleh para pesaingnya.

Pentas final bolasepak Piala Malaysia yang berlangsung Sabtu lalu amat menarik untuk disaksikan. Pertembungan kuasa baru dan kuasa lama yang mewakili dua tempoh dominan berbeza itu, tidak ubah ibarat duplikasi semula pertandingan akhir Piala FA yang pernah berlangsung sebelum ini.

Sekali lagi dua pasukan yang sama berentap membuat perhitungan. Sekali lagi Sang Penakluk berkuasa sakti terbang melebarkan sayapnya dari arah utara. Sekali lagi jagoan Lembah Kelang menanti sambil mendabik dada. Dan sekali lagi warna warni Hijau Kuning dan Merah Kuning menjadi penyeri melimpahi serta melangsiri suasana.

Namun pemenang yang tertabal adalah pasukan yang sama!

Menariknya jumlah gol yang bolos membolosi pun tetap sama. Sahlah kini, Hijau Kuning adalah juara antara juara!

Tidak puas di Stadium Shah Alam, bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil pula sekali lagi Azrai telah melondeh serta menelanjangi segala kelemahan Dollah Salleh dengan susunatur formasi yang telah dicerna dengan begitu rapi serta teliti.

Hasilnya, Sang Gergasi Merah menggigit jari. Dan piala berprestij yang menjadi lambang keagungan bolasepak tempatan itu pun dijulang oleh sekumpulan para pemain yang memakai jersi keramat Hijau Kuning untuk disimpan di Alor Setar sekurang-kurangnya untuk setahun lagi.

Tahniah Hijau Kuning!

Saya cukup tertarik dengan mutu permainan serta keyakinan yang ditunjukkan oleh penggempur muda, Badrul Bakhtiar dan Fadly Baharom. Melihat aksi mereka, saya segera terkenangkan bekas pemain K. Soley. Walaupun terkilan, pada penghujung musim lalu saya turut 'merestui' penghijrahannya ke Perlis.

Musim ini terbukti 'kesabaran' saya berbaloi.

Saya punya alasan tersendiri. Badrul dan Fadly mungkin tidak begitu dikenali seperti sekarang, jika Soley tidak melangkah pergi. Sewaktu mereka berdua berada di kemuncak prestasi sebagaimana sekarang, pada tahap manakah pula Soley berada kini?

Sabtu lalu Marlon, Nelson dan Huggins telah menjawab segala tohmahan tidak berasas tentang kualiti pemain-pemain import sebagaimana yang dipertikaikan oleh pihak-pihak yang masih diselimuti kejahilan tentang aplikasi dunia bolasepak moden.

Mereka bertigalah sebenarnya yang telah menggerakkan serta menyuntik kesegaran sebuah pertandingan akhir sehingga mampu menggamit puluhan ribu jumlah penonton yang berkunjung ke stadium manakala jutaan lagi terpaku di depan kaca TV. Mereka ibarat Tok Dalang yang menerajui sebuah pertunjukan wayang kulit.

Negara-negara yang maju di seluruh dunia sentiasa membuka pintu seluas-luasnya buat pemain-pemain asing memperagakan kebolehan untuk bermain dengan kelab-kelab di sana. Malahan ada negara yang memberikan taraf kerakyatan kepada pemain asing semata-mata untuk memajukan mutu bolasepak di negara tersebut.

Kita berfikiran sebaliknya. Rupa-rupanya di sebalik kepesatan ledakan teknologi di era Bill Gates, masih ada yang ingin mengajak kita kembali ke zaman JWW Birch yang serba manual!

Hakikatnya Marlon akan pergi. Nelson akan pergi. Huggins juga akan pergi. Mereka terpaksa berangkat pergi lantaran kedangkalan minda pihak-pihak tertentu yang lebih senang menyalahkan orang lain semata-mata untuk menutup pekong di dada sendiri.

Marlon, Nelson dan Huggins : mereka adalah yang terbilang, tetapi anehnya mereka adalah yang terbuang!